Rakyat Terengganu hukum Umno/BN
- Dato' Fadzil

 


Dato' Fadzil Mohd Noor. bersama calon-calon PAS yang menang.

PENDANG: Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd. Noor, menyifatkan kekalahan teruk Umno/BN di Terengganu adalah hukuman berat yang dijatuhkan rakyat Terengganu terhadap mereka kerana telah banyak menyalahgunakan wang rakyat sehinggakan mengabaikan nasib hidup mereka.

Ketika mengulas kemenangan besar PAS di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Dato' Fadzil memberitahu kerajaan BN Terengganu telah banyak menyalahgunakan wang dari royalti minyaknya untuk kepentingan diri dan parti Umno/BN yang memerintah sejak 40 tahun dahulu.


Presiden PAS Dato' Fadzil Mohd. Noor, Ahli Parlimen Pendang yang juga Adun Anak Bukit bersama Muhamad Sabu, Ahli Parlimen Kuala Kedah serta ahli dan penyokong PAS.

"Terengganu adalah negeri yang kaya dengan hasil buminya. Setiap tahun kerajaan negeri memperoleh kira-kira RM500 juta dari royalti hasil minyak dan gas asli, tetapi kebanyakan rakyatnya hidup dalam kemiskinan. Ke manakah perginya wang yang begitu banyak itu?" soalnya.

"Barangkali ini merupakan satu hukuman berat rakyat Terengganu terhadap kerajaan Umno/BN yang telah sekian lama mengabai dan mengecewakan mereka," tambahnya.

Dato' Fadzil mengakui bahawa negeri Terengganu merupakan sasaran PAS selepas Kelantan, walaupun PAS menyedari ia bukanlah kerja yang mudah untuk menawannya.


Presiden PAS bersalaman dengan anak-anak penyokong PAS di Kawasan Unit Peti Undi PAS.

"Alhamdulillah, di atas sokongan penuh rakyat Terengganu, kita berjaya. Kemenangan besar ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Sekarang kita dapat tubuhkan sebuah lagi kerajaan PAS di Terengganu," syukurnya.

Mengenai kejayaan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan sehingga hampir menyapu bersih kerusi Dun dan Parlimen, Dato' Fadzil berkata rakyat Kelantan tetap menyokong dan berpuas hati dengan pemerintahan PAS yang diterajui oleh Tuan Guru Nik Aziz untuk membangunkan negeri Kelantan bersama Islam.

"Mereka menepis segala serangan fitnah, pemboho-ngan, taburan janji pemimpin Umno, sama ada melalui TV, akhbar atau ceramah mereka di sana-sini. Mereka lebih kebal dari serangan senjata Umno yang bertubi-tubi itu, sebab itu mereka tidak mudah terpengaruh.

"Malah serangan kempen BN yang memburuk-burukkan kerajaan negeri PAS dan calon-calon PAS yang melampau-lampau telah memakan diri mereka sendiri, sehinggakan wakil-wakil menteri dan timbalan menteri dari negerinya pun ditolak. Itulah sikap orang Kelantan yang sudah tidak lagi percayakan Umno," tegas Presiden PAS.