MB DAN EXCO KERAJAAN ISTIHAR HARTANYA

 

KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang akan mengisytiharkan hartanya dan mengarahkan semua exco kerajaan negeri turut berbuat demikian bagi memastikan pemimpin-pemimpin kerajaan tidak melakukan penyelewengan.

Beliau berkata kerajaan PAS Terengganu juga akan mengkaji semula semua projek mega di negeri ini yang dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pelaksanaannya bukan satu pembaziran.

Projek yang perlu akan diteruskan terutama yang melibatkan kepentingan rakyat dan beliau mahu mendengar taklimat pegawai-pegawai berkenaan sebelum membuat keputusan, katanya pada persidangan berita di rumahnya di Rusila, dekat sini malam ini.

Beliau mengesahkan tidak akan menduduki kediaman rasmi Menteri Besar di Batu Buruk dan kerajaan negeri juga telah membuat keputusan untuk tidak membeli sebarang kereta baru bagi kegunaan anggota-anggota exco dan beliau sendiri.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa projek lebuh raya pantai timur tidak akan diteruskan ke Terengganu sebaliknya hanya setakat Pahang, Abdul Hadi berkata Samy Vellu tidak seharusnya emosional dengan keputusan pilihan raya yang lepas.

"Itu adalah hak rakyat untuk memilih mana-mana kerajaan yang mereka mahu dan hasil negara bukan hasil Samy Vellu, bukan kepunyaan MIC dan bukan kepunyaan BN...ini kepunyaan seluruh rakyat.

"Kalau PAS memerintah negara dan Pulau Pinang diperintah oleh MIC, kami wajib memberi hak kepada rakyat Pulau Pinang walaupun mereka memilih yang lain," katanya.

Abdul Hadi berkata kerajaan PAS Terengganu juga akan mengikut contoh kerajaan Kelantan memendekkan masa bekerja bagi kakitangan kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

Mengenai cuti mingguan pada hari Jumat dan Sabtu, beliau berkata hari Khamis adalah hari bekerja sepenuh hari. Kakitangan akan tetap mendapat cuti mingguan dua hari walaupun hari Sabtu itu adalah Sabtu pertama pada bulan berkenaan, katanya.