KENYATAAN BADAN BEBAS : PILIHAN RAYA DIPENUHI PENGUNDI HANTU




KUALA LUMPUR: Sebuah badan bebas pemerhati pilihan raya luar negara
mendapati wujudnya pengundi hantu dalam pilihan raya umum Malaysia dan
menyimpulkan pilihan raya kali ini tidaklah `bebas dan adil'. Asian Network
For Free Elections, sebuah pemantau pilihan raya berpusat di Bangkok
mempunyai pemerhati di beberapa pusat pengundian 13 negeri.

"Apa yang jelas ialah terdapat usaha secara sistematik untuk menyusun
pendaftaran pengundi  yang akan memberi kemenangan bagi parti tertentu,"
kata Sunai Phasuk seorang daripada ahli pemantau tersebut.

Beliau memberitahu tindakan ini dilakukan oleh parti pemerintah, Barisan
Nasional. Sunai juga berkata bahawa pendatang Filipina telah diberi kad
pengenalan dengan syarat mereka mengundi Barisan Nasional. Beliau mengedar
salinan kad-kad tersebut dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh badan
itu. Kad-kad tersebut mempunyai gambar yang sama tetapi nama-nama dan nombor
yang lain.

`Saya mendapatkannya daripada pendatang Filipina sendiri. Saya bercakap
dengan mereka'.

Pemerhati-pemerhati dari Bangladesh, Kanada, Finland, Indonesia, Jepun,
Negeri Thai, Nepal dan Filipina telah mengikuti pilihan raya kali ini.

Pengerusi pasukan pemantau, Jeneral Sayud Kerdphol berkata bahawa terdapat
penindihan pendaftaran di banyak kawasan di seluruh negara. Sunai pula
berkata di satu pusat pengundian di Sabah `pengundi' dibawa ke tempat
mengundi dengan bas BN. Bas-bas tersebut yang sarat dengan `pengundi'
dibenarkan masuk ke kawasan yang dilarang kepada kenderaan lain.

Beliau menambah, `kredibiliti cara undi pos dikendalikan menimbulkan banyak
persoalan'.

Sayud menegaskan bahawa Malaysia perlu berusaha untuk mencapai demokrasi
tulen dan sistem politik yang lebih telus.


Kiriman : Sayang Mekna