Tindakan ke atas guru -- Pinda soalan peperiksaan supaya murid bencikan kerajaan

PEKAN 23 Okt. - Kementerian Pendidikan telah mengarahkan Ketua Pengarahnya mengambil tindakan tatatertib terhadap seorang guru di Kedah yang meminda soalan peperiksaan bermotif politik bagi membangkitkan kebencian murid terhadap kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh termasuk hasil temuduga oleh Pengarah Pendidikan Kedah, guru sekolah menengah itu dengan terang dan jelas telah melanggar disiplin dan tatatertib perguruan.

''Kementerian memandang serius perkara ini, guru ini membuat soalan sendiri tanpa menggunakan soalan yang disediakan oleh panitia (jawatankuasa mata pelajaran).

''Meskipun panitia telah tetapkan soalan tetapi beliau ganti dengan soalan yang direkanya sendiri,'' katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan Penilaian Tahap Satu di Jabatan Pendidikan Daerah di sini hari ini.

Guru matematik itu mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi, Pokok Sena, Alor Setar.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini mengedarkan salinan kertas soalan matematik itu kepada pihak media.

Kertas ujian bulanan itu dengan terang dan jelas menggunakan nama-nama (yang ejaan dan namanya diubahsuai) seperti 'Daem' (merujuk kepada Tun Daim Zainuddin), 'Mirzan' (anak Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad), 'Zani' (Mokhzani Mahathir), 'Det' (Dr. Mahathir), 'Umihalf' (Umi Hafilda Ali), 'Rafida' (Datuk Seri Rafidah Aziz), 'Patail' (Gani Patail),'Eric', 'Chia' dan 'Tingpeking' (Tan Sri Ting Pek King).

Pengedaran itu bagi memenuhi janji Dr. Mahathir semalam bahawa beliau akan mengedarkan salinan soalan berkenaan kepada media.

Perdana Menteri semasa sidang media selepas mengakhiri lawatan dua hari ke Kedah semalam berjanji menyerahkan salinan kertas soalan tersebut selepas memberitahu beliau mempunyai bukti terdapat guru di Kedah menyediakan soalan matematik berunsur politik bertujuan memburuk-burukkan kerajaan.

Menurut Dr. Mahathir, soalan-soalan itu sengaja dibuat bagi menimbulkan kebencian kepada kerajaan seolah-olah nama yang dijadikan contoh dalam soalan itu adalah orang yang tidak baik.

Beliau yang kesal dengan perbuatan guru terbabit meminta setiap kakitangan kerajaan menghentikan perbuatan seumpama itu kerana mereka masih terikat dengan peraturan yang melarang kakitangan kerajaan mencampur-adukkan politik dengan tugas.

Najib menjelaskan, kes yang berlaku tiga minggu lalu itu diketahui oleh Jabatan Pendidikan Kedah setelah ia dimaklumkan oleh ibu bapa pelajar kepada pejabat Menteri Besar.

Kata beliau, perkara itu hanya terdedah di dua buah kelas yang diajar oleh guru berkenaan sahaja.

Dalam kertas soalan yang diedarkan oleh pejabat Perdana Menteri itu, empat daripada 24 soalan yang terkandung dalam Bahagian A jelas mengaitkan nama-nama berunsur politik iaitu soalan nombor 13, 19, 20 dan 24.

Soalan-soalan itu adalah seperti berikut:

Soalan 13: Sejumlah wang dibahagi antara Daem, Mirzan dan Zani mengikut nisbah 2:3:7. Jika Mirzan menerima RM14 juta lebih daripada Daem, hitungkan;

a) jumlah wang itu dan

b) bahagian yang diterima oleh Zani.

Soalan 19: Purata berat Det, Daem, Umihalf, Patail dan Rafida ialah 35 kg. Berat Det, Daem dan Umihalf ialah masing-masing 30 kg., 27 kg. dan 34 kg. Berat Patail sama dengan berat Rafida. Berapa berat Patail?

Soalan 20: Eric, Chia dan Tingpeking berkongsi untung hasil rampokan (ejaan asal dalam soalan) di kilang Perwaja sebanyak RM90,000 mengikut nisbah 7:5:3.

a) Hitung jumlah yang didapatioleh Eric.

b) Kira beza wang yang diterimadi antara Chia dan Tingpeking.

Soalan 24: Jadual di bawah menunjukkan jarak dalam km., dari rumah ke Mahligai bagi sekumpulan 120 orang khadam... (jadual diberikan)

a) Cari nilai x.

b) Hitungkan jumlah khadam yang jarak dari rumah ke Mahligai lebih daripada 4.5 km.

c) Jika maklumat dalam jadual diatas diwakili oleh sebuah carta pai, hitungkan sudut sektor yang mewakili bilangan khadam yang jarak dari rumahnya ke Mahligai adalah antara 9-10 km.

Pihak pembangkang dalam ucapan dan kempen-kempen mereka menggelar kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya sebagai mahligai.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my