Pukulan terhadap Tian Chua dan Razdi antara punca

TINDAKAN PROVOKASI
PUNCA KEGANASAN

Oleh WARTAWAN dan JURUGAMBAR HARAKAH

 

KUALA LUMPUR: Para saksi yang berada di perkarangan Mahkamah Tinggi mendakwa, tindakan pihak tertentu memukul, merampas telefon bimbit Pengerusi Gagasan, Tian Chua serta rakan yang cuba menolong beliau menjadi punca kepada tindakan ganas yang berlaku Rabu lepas.

 

Penyokong Anwar, Razdi Mat Lazim sedang dirawat oleh orang ramai selepas beliau berlumuran darah kerana dipukul oleh orang yang tidak dikenali
 


Tian Chua menceritakan kepada orang ramai yang hadir bagaimana beliau dibelasah dan rakannya (di sebelah) yang cuba membantu beliau turut dipukul sehingga berdarah.

Menurut mereka, orang ramai mulai marah apabila melihat muka Tian Chua bengkak dan lebam-lebam manakala rakan yang cuba menolong beliau berlumuran darah.

Ekoran dari itu, para penyokong Anwar yang sememangnya tidak berpuashati dengan keputusan penjara enam tahun ke atas Anwar mula bertindak kasar.

Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) menggunakan pancutan air berkimia dan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan orang ramai yang berhimpun bagi mendengar keputusan mahkamah yang akan diumumkan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak lagi menakutkan mereka.

Apabila ada pihak berpakaian biasa bertindak memukul dan menendang orang ramai yang sedang menunggu keputusan yang akan dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, mereka bertambah marah.

 

Dr Wan Azizah melambaikan tangannya kepada orang ramai selepas keluar dari mendengar hukuman yang dijatuhkan ke atas suaminya oleh mahkamah.
 


Akibat kemarahan...papan, kayu dan kertas dikumpulkan lalu di bakar oleh mereka yang marah dengan keputusan mahkamah.

Akibatnya beberapa orang tercedera termasuklah Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Tian Chua, Azuan Hamzah, Razdi Mat Lazim dan beberapa orang lagi yang tidak dikenali.

Ekoran dari kecederaan inilah menyebabkan Tian Chua bersama-sama Razdi Mat Lazim yang luka berhampiran mata dan masih berlumuran darah membuat laporan kepada salah seorang pegawai polis yang mengetuai kawalan di kawasan itu.

"Polis berpakaian biasa telah memukul orang yang tidak bersalah. Kawan saya (Razdi Mat Lazim) dipukul kerana menolong saya," jelas beliau kepada lebih 5,000 orang yang sedang berkumpul di tengah-tengah jalan raya menuju ke bangunan Central Market (CM) yang terletak bersebelahan Sungai Klang.

Beliau mempersoalkan tindakan memukul dan menendang orang ramai yang mengadakan perhimpunan dan perarakan secara aman yang tidak menghalang lalulintas.

 

Dr Wan Azizah berucap dengan penuh emosi di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat Rabu lepas, selepas 12 jam suaminya dijatuhkan hukuman penjara enam tahun.
 


Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor berucap sebagai tuan rumah majlis.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap seorang pegawai polis yang mengetuai kawalan di kawasan itu tidak menerima laporannya.

Ketika kejadian berlaku, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah di bawa ke Penjara Sungai Buloh setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap kesalahan terhadap empat tuduhan amalan rasuah.

Tindakan ini menyebabkan polis bertindak mengarahkan beberapa buah trak pancutan air berkimia dan menghampiri kawasan itu untuk mengusir orang ramai yang berkumpul.

Beberapa das tembakan gas pemedih mata dilepaskan oleh pihak polis untuk menyuraikan orang ramai yang sedang berhimpun.

 

Orang ramai yang tidak dapat masuk ke dalam dewan terpaksa bersesak-sesak di luar dewan dengan menjadikan layar putih yang di pasang di luar dewan sebagai panduan mereka.
 


Orang ramai yang memenuhi perkarangan mahkamah terkejut mendengar Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara.

Bermula dari sinilah, orang ramai mula bertindak liar bertempur dengan polis dengan bersenjatakan batu dan kayu. Mereka yang telah menyerang beberapa buah trak dan kereta polis menyebabkan cerminnya pecah, merosakkan tiang parking, melempar batu ke arah pondok polis, termasuk memecahkan kereta Sistem Televisyen Malaysia (TV3) dan membakar tong-tong sampah.

Mereka juga melaungkan reformasi, tabir dan mendesak Dr. Mahathir supaya berundur dengan seberapa segera sambil mengibarkan bendera PAS, KeADILan, DAP, PRM dan kain rentang mengutuk kepimpinan Dr. Mahathir.

"Kami akan meneruskan perjuangan sehingga keadilan dapat ditegakkan di negara tercinta ini," laung salah seorang yang memimpin perhimpunan itu, setelah Tian Chua dan beberapa orang yang lain ditangkap polis.

Hampir pukul 5.00 petang, keadaan di ibu negara kembali tenang dan orang ramai mula bersurai meninggalkan kira-kira 300 orang anggota polis yang terus mengadakan kawalan ketat di situ.


Orang ramai yang penuh sesak di dalam dewan besar Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar.
Dalam kejadian itu, 18 orang ditangkap termasuk Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Tian Chua yang juga pengerusi Gagasan Demokrasi Rakyat (Gagasan).

Pada sebelah malamnya, lebih 50,000 para penyokong perjuangan keadilan berhimpun di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat bagi mendengar amanat para pemimpin parti-parti alternatif.

Yang berucap adalah Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Presiden keADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali dan Dr Tan Seng Giaw dari DAP kesemuanya bernaung dibawah Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak).

Sebelum itu, satu perjumpaan khas telah diadakan oleh mereka dan satu resolusi bersama telah dikeluarkan dan dibacakan oleh Pengerusi majlis pada malam itu, Haji Mahfuz Omar.

 

Ke Laman Utama