Masyarakat bukan Islam sokong PAS


KOTA BHARU: Masyarakat Kelantan pelbagai bangsa termasuk Cina, India dan Siam bergabung tenaga menyokong calon PAS dalam pilihan raya umum lalu kerana ingin mengekalkan pemimpin yang ikhlas dalam menjalankan tugasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Hubungan Antara Kaum, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Haji Anuar Tan Abdullah, berkata memandangkan prestasi baik pentadbiran kerajaan itu hampir 10 tahun ini, masyarakat manoriti khususnya Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Lama, telah memilih calon PAS.

Sambungnya, kemenangan itu juga sekaligus memecah rekod perjuangan PAS yang tidak pernah ditembusi sebelum ini.

"Kerana itu, 30 peratus daripada 40 peratus masyarakat Cina di negeri ini menyokong PAS," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimatnya pada pelancong dari Melaka dan Johor, di mana 44 orang daripadanya adalah masyarakat Cina Senai.

Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Saudara Mazlan Aliman, Naib Pengerusi DAP Johor, Hang Meng Tan dan Pengerusi Hubungan Antara Kaum Negeri Kelantan, Ong Thim Kuang.

Pada majlis itu, Anuar turut berkata pendedahan buruk terhadap PAS dan Barisan Alternatif (BA) seperti tiada keistimewaan pada masyarakat bukan Islam sekiranya parti itu menang seperti yang dilaporkan oleh akhbar Cina pro kerajaan, membuatkan calon yang bertanding kalah.

Bagaimanapun, tegasnya imej baik pentadbiran kerajaan yang berlandaskan Islam akan tetap didedahkan pada masyarakat seluruhnya agar mereka memahami.

"Rajin-rajinlah melawat negeri ini," ujarnya.