HARAKAH : Pemuda UMNO buat aduan polis

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan Selangor semalam membuat laporan polis berasingan ke atas akhbar Harakah yang didakwa menerbitkan berita berunsur fitnah dan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana menghina mahkamah.

 Laporan pertama dibuat Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Abdul Azim Mohd Zabidi di Balai Polis Dang Wangi di sini, mengenai berita berunsur fitnah ke atas Perdana Menteri.

 Beliau yang diiringi kira-kira 100 ahli Pemuda termasuk beberapa Ketua Pemuda bahagian, tiba kira-kira jam 10.05 pagi untuk mengemukakan laporan berkenaan.

 Menurutnya, perenggan ke-12 berita bertajuk 'Dr Hassan Ali tegaskan - Rakyat sengsara di bawah Barisan' terbitan 18 Syawal 1419 (5 Februari 1999) itu dikatakan mengandungi unsur fitnah dan cuba menghasut rakyat membenci Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

 "Selama ini kita bersabar dan mengambil sikap berdiam diri terhadap perbuatan menabur fitnah ke atas kepemimpinan kita. Tetapi kesabaran kita ada hadnya.

 "Mulai hari ini (semalam), kita tidak akan dapat berdiam diri lagi dan akan mengambil tindakan sesuai mengikut undang-undang bagi memastikan pihak yang berkenaan tidak berterusan menyalahgunakan permit dan kebebasannya dengan menerbitkan berita palsu dan berunsur fitnah," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan.

 Abdul Azim menegaskan laporan polis itu dibuat atas inisiatif pergerakan itu sendiri dan bukan atas arahan kepemimpinan parti.

 Perenggan ke-12 berita berkenaan berbunyi: 'Beliau kesal dengan sikap Perdana Menteri Malaysia yang sudah pun berusia lanjut, 74 tahun tetapi masih lagi mempunyai kemahuan besar seperti membina mahligainya RM200 juta dan jet RM200 juta.'

 Berita tulisan Ismail Hashim itu memetik ucapan Pengarah Akademik Keluarga Bahagia Malaysia (Akrab), Datuk Dr Hassan Mohd Ali di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (Sridu), dekat Alor Setar, Kedah.

 Pada petang semalam, Ketua Pemuda Umno Selangor, Jaya Kusuma Rusman pula membuat laporan polis ke atas Mohamed Ezam Mohd Noor yang didakwa membuat kenyataan berunsur mempertikaikan kewibawaan mahkamah berhubung perbicaraan kes Anwar.

 Beliau membuat laporan berkenaan di Balai Polis Petaling Jaya dekat sini.

 Jaya Kusuma membuat laporan itu berdasarkan kenyataan Mohamed Ezam ketika ditemu bual akhbar Harakah keluaran Isnin lalu, 22 Mac 1999.

 Kenyataan itu disiarkan di muka surat 21 akhbar berkenaan dalam satu soal jawab di antara Harakah dengan Mohamed Ezam.

 Berikut adalah petikan daripada temu bual berkenaan:

 'Harakah: Akhir sekali, pada pandangan Encik Ezam tentang perbicaraan Dato' Seri Anwar yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Adakah Encik Ezam rasa Dato' Seri Anwar mempunyai peluang?

 Ezam: Nampak jelas bahawa mereka dari segi politiknya Dr Mahathir tidak mampu menghadapi Dato' Seri Anwar walaupun hanya satu hari. Saya rasa mereka akan lakukan apa saja. Oleh itu kita fahamlah apa keputusan yang akan diputuskan oleh mahkamah kepada Dato' Seri Anwar.'

 Jaya Kusuma menolak andaian bahawa laporan polis yang dibuatnya semalam itu arahan daripada kepemimpinan atasan Umno.

 "Saya merasakan kenyataan Mohamed Ezam itu akan difahami oleh pembaca akhbar Harakah sebagai bermaksud bahawa keputusan mahkamah sudah ditentukan terlebih dahulu sungguhpun perbicaraan masih berjalan.

 "Kenyataan berkenaan juga boleh ditafsirkan sebagai bertujuan menimbulkan anggapan wujudnya campur tangan kerajaan dalam sebarang keputusan mahkamah dan seolah-olah menghasut orang ramai supaya menanam prasangka terhadap kebebasan institusi kehakiman di negara ini," katanya.

Berita : WDP