SUK TERENGGANU BERSARA AWAL BERKUATKUASA HARI INI

KUALA TERENGGANU, 16 Dis - Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh hari ini mengambil langkah bersara awal setelah memegang jawatan itu sejak April lepas.

Che Mat, 50, ketika dihubungi di sini, hari ini, mengesahkan beliau bersara awal tetapi enggan mengulas lanjut mengenai tindakannya itu.

"Saya sahkan perkara itu tetapi tunggulah ulasan lanjut setelah beberapa perkara diselesaikan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang pula ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu di KOTA BAHARU mengesahkan yang beliau telah dimaklumkan pagi tadi mengenai persaraan Che Mat berkuatkuasa hari ini.

"Dia dah maklumkan pagi tadi...apa perlu kita halang," kata Menteri Besar itu yang berada di Kota Baharu bagi menghadiri seminar dan perjumpaan anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri PAS seluruh Malaysia.

Haji Abdul Hadi berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana perubahan pegawai dan peletakan jawatan adalah perkara biasa apabila sesebuah kerajaan itu berubah.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru bagi menggantikan tempat yang dikosongkan Che Mat dalam sehari dua lagi.

"Pemilihan pengganti untuk jawatan itu akan dibuat mengikut kenaikan pangkat melalui proses biasa dan tidak akan berlaku kejadian langkah melangkah seperti di zaman Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau turut menafikan bahawa kerajaan PAS Terengganu mengenakan tekanan terhadap pegawai-pegawai tadbir yang dikatakan rapat dengan Wan Mokhtar.

Sementara itu Che Mat dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri April lepas menggantikan Datuk Badaruddin Ismail yang meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 3 April lepas.

Ura-ura mengenai pertukaran jawatan tertinggi Kerajaan Negeri itu bermula dan hangat diperkatakan apabila PAS memenangi pilihan raya umum lepas dan mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri.

Che Mat dikatakan sebagai antara orang yang rapat dengan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang terbabit dalam rombakan pegawai-pegawai tadbir Kerajaan Negeri sejak PAS mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri Terengganu.

Minggu lepas, lapan pegawai kanan Kerajaan Negeri termasuk Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Datuk Mohamad Ngah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Ismail Sulong dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Datuk Alwi Mohamad ditukarkan.

Semalam, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Datuk Azman Muda dan Pengarah Yayasan Terengganu Datuk Saidi Mohamed mengesahkan bahawa kontrak perkhidmatan mereka yang sepatutnya berakhir pada tahun 2001, ditamatkan secara mengejut berkuatkuasa hari ini.

Che Mat yang baru keluar dari hospital petang semalam, bagaimanapun masuk ke pejabatnya pagi ini bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan dengan persaraan awal beliau dan menemui kaki tangan pejabatnya.

Sebelum dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, Che Mat memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) dari tahun 1995 hingga awal tahun ini.


Komen Tok Ayah : Dulu SUK ini naik mengejut dan ada orang sepatutnya naik tak naik-naik pangkat, dia tu sekarang ni dah nak hampir pencen, tapi Allah maha kaya, rasanya orang itu akan jadi SUK baru.