BELANJAWAN 2000 TERENGGANU DIBENTANG SELASA INI

KUALA TERENGGANU, 16 Dis - Belanjawan 2000 kerajaan Pas Terengganu akan dibentangkan oleh Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang di Dewan Undangan Negeri di sini Selasa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri Tuan Haji Mustafa Ali berkata persidangan dewan itu akan berlangsung selama empat hari mulai 20 Dis ini.

"Pada 20 Dis ialah upacara angkat sumpah jawatan anggota Dewan Undangan Negeri di samping melantik speaker dewan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata perbahasan dan penggulungan belanjawan itu diadakan selama dua hari dan persidangan dewan akan berlangsung sehingga pukul 3 petang.

Belanjawan 2000 kerajaan Pas Terengganu menjadi perhatian rakyat kerana ia merupakan belanjawan pertamanya selepas memenangi pilihan raya umum ke-10, 29 Nov lepas.

Haji Abdul Hadi baru-baru ini berkata kerajaan Pas berjanji untuk melaksanakan setiap yang dirancangkan di dalam manifestonya pada pilihan raya lepas termasuk menghapuskan beberapa cukai dan menambah cuti mingguan kakitangan kerajaan negeri.

Sejak memerintah Terengganu, kerajaan Pas telah menghapuskan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud pada 1 Dis lepas.