Barangan keperluan mencukupi - Exco

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Mohd. Abdul Wahid Endut memberi jaminan barangan keperluan harian pada bulan puasa dan hari raya mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan barangan keperluan utama pengguna di negeri ini mencukupi sepanjang bulan puasa ini dan hari raya nanti.

Bagaimanapun, katanya para pengguna menghadapi masalah kenaikan harga sesetengah barangan seperti ikan, kelapa, sayur dan telur.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan memantau keadaan itu dan mengkaji punca sebenar kenaikan harga barang agar tidak membebankan para pengguna.

"Saya perlu mendapatkan laporan daripada para pegawai untuk mengetahui punca kenaikan itu dan langkah yang akan diambil untuk mengatasinya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini, Isnin lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak musim tengkujuh yang melanda negeri ini sekarang adalah antara faktor kenaikan harga barangan keperluan itu terutama ikan yang diimport dari luar termasuk negara jiran.

"Saya dan para pegawai akan membuat tinjauan di pasar-pasar untuk mendapatkan penjelasan berhubung punca kenaikan barang-barang keperluan berkenaan," ujarnya.

Beliau juga berpendapat kenaikan harga itu juga mungkin berpunca daripada kekurangan bekalan.

 

#