KERJASAMA PAKATAN PEMBANGKANG DITERUSKAN

KUALA TERENGGANU, 15 Dis - Timbalan Presiden Pas Haji Abdul Hadi Awang berkata kerjasama yang wujud dalam pakatan parti pembangkang masih lagi berterusan walaupun pilihan raya umum ke-10 telah berakhir.

Matlamat pakatan itu adalah untuk menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Barisan Nasional di Parlimen dan selagi ia tidak berjaya kerjasama itu masih belum selesai, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat pemimpin tinggi DAP diketuai Pengerusinya Lim Kit Siang.

Turut sama dalam pertemuan itu ialah naib pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Dr Tan Siew Giaw serta setiausaha agungnya Kerk Kim Hock.

Abdul Hadi berkata kerajaan Pas Terengganu tidak akan melaksanakan apa yang dirancangnya secara tergesa-gesa bagi memastikan keadilan berlaku tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

Katanya setiap perkara yang ingin dilakukan mestilah terlebih dahulu diberikan kefahaman dan penjelasan kepada rakyat.

Beliau berkata dalam merealisasikan ekonomi Islam, kerajaan juga akan melaksanakan pinjaman tanpa faedah kepada rakyat yang memerlukan rumah tanpa mengira agama mereka dan terserah kepada rakyat untuk membuat pilihan sama ada menerima rancangan kerajaan itu atau memilih sistem konvensional yang sedia ada.

Katanya sebarang projek yang ingin dilakukan oleh kerajaan juga perlu melalui proses syura rakyat yang akan diwujudkan untuk mendengar pandangan mereka mengenai projek berkenaan selain perbahasan di Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Lim berkata pertemuan hari ini adalah sebagai kunjungan hormat dengan kepimpinan Pas negeri dan bagi mendapatkan penerangan mengenai pelbagai perkara yang dibangkitkan termasuk kharaj.

Beliau berkata kharaj akan dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada masyarakat bukan Islam dan mereka tidak dipaksa untuk menerimanya.