KELANTAN MINTA PUSAT SEGERA LUNAS BAKI GERAN

KOTA BAHARU, 15 Dis - Kerajaan Kelantan meminta kerajaan pusat segera melunaskan baki geran tahunan kepada negeri itu bagi tahun ini sebanyak RM47.6 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pentadbiran Awam Negeri Hj Takiyuddin Hassan berkata bayaran pertama daripada geran tahunan sebanyak RM 91 juta itu kepada Kelantan telah dibuat pada Ogos lepas.

Baki geran yang belum dilunaskan oleh kerajaan pusat itu meliputi geran per kapita, geran jalan raya, geran keseimbangan untuk majlis daerah dan geran kegiatan pembangunan ekonomi, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Takiyuddin merupakan anggota exco baru menggantikan Datuk Hj Halim Mohamad yang tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-10 pada 29 Nov lepas.

Mengenai jawatannya itu, katanya beliau akan berusaha mengurangkan karenah birokrasi dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kalau sebelum ini untuk mendapatkan kelulusan anggota exco mengambil masa enam hingga tujuh bulan, saya mahu perkara itu dipercepatkan," katanya.