Erti dan implikasi hasil ujian ulangan arsenik Anwar

Satu analisis ilmiah

Oleh
Dr. Dzulkifli Ahmad
Ph D (Toksikologi, Lond)


Anwar Ibrahim
SEJAK pendedahan keputusan paras arsenik dalam air kencing Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang dibuat di mahkamah pada 10 September lalu, kes dakwaan keracunan DSAI sudah menjadi isu antarabangsa. Ia sudah tidak mudah boleh dibendung oleh Kerajaan BN.

Seluruh rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa telah diberitahumakan keputusan ujian semula yang telah dilakukan dibeberapa makmal dalam dan luar negara. Ujian semula itu dilakukan ke atas tiga bahan sampel DSAI iaitu:

(i) Urin (air kencing) (ii) Rambut (iii) Kuku.

Keputusan sama ada positif atau negatif mempunyai implikasi tersendiri. Di segi perubatan, positif memberi maksud DSAI sah diracun.

Di segi undang-undang keputusan positif sudah barang tentu meletakkan peranan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas untuk seterusnya menyiasat dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab lebih mendesak lagi. Implikasi politik pula, sama ada keputusan positif atau negatif juga membawa impak yang sukar dijangka. Dengan kata lain, keputusan yang bakal diisytiharkan secara rasmi nanti mempunyai erti dan implikasi yang cukup besar terhadap semua pihak.

Makalah ringkas ini ditulis untuk membantu pembaca memahami maksud dan erti keputusan yang telah pun mula dipaparkan. Sejauh mana relevannya dalam membuat pengesahan atau penafian dakwaan keracunan arsenik DSAI. Tulisan ini mengambil jalan pertengahan: antara ilmiah dan mudah supaya dapat difahami sebahgian besar pembaca. Pada mereka yang mahukan maklumat yang mendalam, penulis sedia mengadakan wacana yang lebih ilmiah bagi membereskan sebarang pertikaian.

A. Sampel air kencing

Sampel air kencing yang di ambil kali terakhir ber-tarikh 12 hb. September. Sampel pertama dahulu adalah bertarikh 18 hb. Ogos 1999. Ini adalah 25 hari selepas sampel pertama.

Jenis arsenik yang paling toksik (cth arsenik trioxide) mempunyai separa hayat selama 5 hari dalam air kencing. Adapun jenis organik dan inorganik yang pentavalen dikumuhkan dengan kadar yang lebih pantas lagi (3-5 hari). (Tidak dinafikan wujud fakta yang menyatakan separa hayat sebagi 10 hari).

Ertinya untuk mengurangkan kepekatan arsenik dalam kencing dari 230 ug/g creatinine ke 115 ug/g creatinine akan mengambil masa 5 hari. (andaian ini kita buat mengikut kaedah 'first order kinetics' dan bukan 'zero order' dalam suasana keracunan yang akut atau paras yang sangat tinggi).

Berdasarkan fakta toksikologi juga 90 %dari dos racun atau drug akan disingkirkan atu kumuhkan (excreted) pada 5 kali separa hayat arsenik. Seluruh arsenik akan dikumuhkan pada 7 kali separa hayat. Mengandaikan sedemikian maka urin ulangan akan hanya relevan untuk memberi gambaran keracunan bagi tempoh 7 x 5 spera hayat atau 35 hari. Dengan kata lain ujian ulangan urin relevan untuk merangkumi tarikh antara 6 hb Ogos sehingga 12 September 1999. Berdasarkan bahawa paras arsenik kencing DSAI pada sampel bertarikh 18 hb Ogos 1999 yang dinilai oleh Gribbles, Melbourne adalah 230 ug/g creatinine maka siapa pun yang ada pengetahuan tentang ilmu keracunan (toksikologi) akan tahu bahawa paras kencingnya pada sampel ulangan 12hb september 1999, pastinya adalah pada paras yang tidak lagi signifikan atau rendah (ramalan <8ug/g creatinine).

Semua kita tahu yang DSAI mula ditahan di Bukit Aman pada 20 September 1998. Tanggapan sesetengah pihak bahawa DSAI mungkin diracun sejak tarikh tersebut tidak boleh ditolak semudah-mudahnya. Sebaliknya, sama ada positif atau negatif sampel ulangan ini hanya akan memberi maklumat tentang keracunan setakat sebulan yang lalu (dari ~ 11 Ogos 1999). Sampel ini tidak memberi apa-apa maklumat tentang waktu keracunan sebelum dari tarikh 6 Ogos 1999 iaitu 20 September 1998 sehingga 6 Ogos 1999.

(Lihat graf)

B. Sampel rambut

Rambut tumbuh sepanjang kurang lebih 1mm sehari. Mengandaikan 9 cm atau 90 mm telah dipotong untuk ujian, maka ini bermakna keputusan ujian rambut hanya akan dapat memberi maklumat tentang keracunan arsenik sehingga 90 hari atau 3 bulan sebelumnya iaitu ~ 10hb Jun 1999.

Ujian atas rambut lebih sukar lagi dan perlu dilakukan dengan peraturan rapi untuk mengelakkan sumber pencemaran (contamination). Juga tempat dari rambut diambil pun penting. Rambut tumbuh dengan lebih konsisten di bahagian belakang kepala (posterior vertex). Sekali lagi keputusan ujian ini mempunyai keterbatasannya dalam memberikan gambaran keseluruhan tentang kes keracunan DSAI.(Lihat rajah)

C. Sampel kuku

Sampel kuku yang diambil juga mempunyai implikasi yang sama. Kuku yang dipotong dari hujung jari (kaki atau tangan- bukan seluruh kuku dicabut!) mengambil masa kurang lebih 6 bulan untuk sampai ke hujung jari . Dengan kata lain juga, keputusan sampel kuku DSAI hanya akan dapat memberi maklumat tentang keracunan arsenik 6 bulan yang lalu dari tarikh sampel kuku diambil iaitu ~ lingkungan sekitar awal Mac 1999.(lihat Rajah III)

Pengamatan penting

(i) Berdasarkan apa yang sebutkan di atas maka adalah mustahak untuk difahami bahawa keputusan ujian dari ketiga-tiga sampel ulangan ini adalah penting tetapi mempunyai banyak keterbatasannya. Dengan lebih tegas lagi maklumat tentang keracunan arsenik DSAI sukar untuk disimpulkan dari ujian ulangan terutama pendedahan kepada racun di antara tarikh ~ awal Mac 1999 hingga ~ 10hb. Jun 1999 dan juga di antara pertengahan Mac hingga awal Jun 1999.

Apakah kesan keracunan dari segi tanda dan gejala (signs and simptoms) yang disaksikan hari ini adalah akibat keracunan dalam senggang waktu yang tidak dapat diwakili oleh keputusan ujian ulangan dari makmal. Adalah sukar untuk menyangkal kemungkinan ini.

(ii) Apa jua dari penemuan makmal (laboratory findings) dari sampel ulangan, perlu tegaskan bahawa keputusan klinikal dari tanda dan gejala adalah juga penting. Bahkan telah ditegaskan dalam penulisan terdahulu dari ini bahawa keputusan diagnosis keracunan mestilah berpandukan kepada penilaian klinikal sementara penemuan makmal sekadar membantu untuk menunjukkan kepada pendekatan rawatan atau terapi yang diperlukan.

Dalam kes-kes keracunan logam berat seperti sama ada memerlukan terapi pengkelat (chelation) contohnya seperti dimercaprol (BAL) atau cukup dengan rawatan konservatif saja. Pentingnya dalam kes DSAI ini, tanda-tanda dan gejala keracunan arsenik seperti susut berat badan, keguguran rambut, kebas bahagian tangan atau kaki, kehitaman dan kekeringan kulit, dikesani setelah beliau menjalani peperiksaan fizikal. Perkara ini adalah cukup besar dalam membuat rumusan dakwaan keracunan arsenik DSAI.

Seperkara lagi adalah jaminan bahawa sampel ujian akan dijamin selamat dan tidak dicemari. Rantaian jagaan (chain of custody) sampel mesti dijamin 100% selamat. Ini adalah antara faktor yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap kesasihan keputusan ujian ulangan ini. Penulis tidak bertujuan untuk mempertikaikan keputusan. Akan tetapi semua pihak perlu jelas dan memahami erti dan implikasi keputusan memandangkan bahawa ujian ulangan tidak boleh dijadikan hujah yang konklusif atau muktamad untuk seluruh penahanan DSAI selama 12 bulan. Kemungkinan pendedahan arsenik pada dos rendah dan berselang pada waktu yang disebutkan di atas tidak dapat dinafikan. Tanda-tanda dan gejala (signs and simptoms), kalau pun rendah dan tak spesifik (pathognomonic) akan terus menjadi tanda tanya golongan yang masih mahukan keadilan dan kebenaran.