Jaminan Pentadbiran Adil

Pas tidak akan mengkhiatai rakyat dan penyokong UMNO

KUALA TERENGGANU, Ahad - Pas yang diberi kepercayaan memerintah Terengganu memberi jaminan akan menjadi kerajaan bertanggungjawab dan adil.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Hj. Abdul Hadi Awang, berkata semua rakyat sama ada yang menyokong atau tidak, memberi kerjasama sepenuhnya untuk mentadbir negeri dengan cara yang baik dan diberkati Allah.

Katanya, beliau memang tidak menyangka Pas memperolehi kemenangan besar sehingga keputusan rasmi yang parti itu memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan semua lapan kerusi Parlimen.

"Setelah membentuk kerajaan, Kerajaan Pas Terengganu akan menunaikan semua janji kepada rakyat sebagaimana yang terkandung dalam manifesto. Setakat ini, bayaran tol Jambatan Sultan Mahmud, cukai pintu rumah kediaman dan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu sudah dilaksanakan," katanya.

Timbalan Presiden Pas juga berkata, Pas tidak akan membongkar penyelewengan yang didakwa dilakukan kerajaan negeri sebelum ini kerana tidak mahu menjadi sebuah kerajaan membalas dendam.

Malah, katanya, Pas akan menjadi kerajaan yang baik dan membetulkan kesilapan lalu. Tindakan yang diambil adalah berdasarkan keadilan yang tidak menjejaskan kebaikan seluruh rakyat.

Mengenai hasil petroleum yang Pas sering bangkitkan ke mana wang itu dibelanjakan supaya rakyat jelas mengenainya, Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri akan telus dan akan memberitahu rakyat wang hasil minyak yang dibelanjakan.

"Pas juga akan meminta Kerajaan Pusat membayar royalti minyak melebihi lima peratus daripada yang diperolehi sekarang. Kerajaan negeri akan mendesak dan memberi nasihat kerana dia (Pusat) mempunyai kuasa mengenai perkara itu.

Mengenai cadangan mengharamkan arak, judi dan pusat hiburan di negeri ini, Hj. Abdul Hadi berkata, sebelum perkara itu dilaksanakan, kerajaan negeri perlu meneliti dari pelbagai aspek dan mengikut ajaran Islam, orang bukan Islam hendaklah diberi kebebasan individu sebagaimana yang diizinkan agama mereka asalkan tidak mengganggu orang lain.