KENYATAAN MEDIA:
MAHKAMAH RAKYAT AKAN MENJATUHKAN HUKUMAN KEPADA
DR. MAHATHIR DAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL
 

Keputusan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebenarnya tidak banyak
memeranjatkan rakyat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa. Ini
disebabkan oleh rakyat sudah dapat melihat tentang proses awal kes itu
dilakukan secara yang membelakangkan prinsip undang-undang.

Tindakan Perdana Menteri menjatuhkan hukuman kepada Dato’ Seri Anwar
mendahului mahkamah membuatkan rakyat dapat menjangka keputuan yang
bakal dibuat oleh mahkamah seperti mana yang berlaku hari ini. Dan ini
ternyata terbukti benar jangkaan rakyat bahawa Dato’ Seri Anwar telah
dijatuhkan hukuman.

Walaupun begitu keputusan mahkamah, perbicaran tersebut meninggalkan
beberapa persoalan yang tidak terjawab dan terus menjadi tanda tanya.
Antaranya ialah afidavit-afidavit dan kenyataan bersumpah yang dibuat
oleh beberapa orang saksi pembela. Kenyataan bersumpah yang dibuat oleh
Manjeet Singh yang mendedahkan konspirasi pihak pendakwa. Afidavit Dr.
Munawar Anes, Sukma Darmawan dan Meor Abdul Razak telah menafikan Dato’
Seri Anwar meliwat mereka. Jamal Amro rakyat Lebanon yang bekerja di US
mengaku Mustapha Ong cuba mempengaruhi beliau sewaktu dalam perjalanan
menemui Dato’ Seri Abdullah Badawi di US supaya beliau mengaku diliwat
oleh Dato’ Seri Anwar

Tuduhan terhadap Dato’ Seri Anwar adalah salah guna kuasa yang ada
kaitannya dengan tuduhan salah laku seks luar tabie dan seks zina.
Bagaimana tuduhan salah guna kuasa itu boleh dibuktikan sedangkan
tuduhan salah laku seks luar tabie dan seks zina telah menimbulkan
berbagai keraguan yang menunjukkan adanya konspirasi politik yang
jahat
bagi tujuan untuk semata-mata menjatuhkan Dato’ Seri Anwar dari
kedudukan beliau sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri. Oleh sebab
itu pengendalian kes itu dilihat oleh rakyat sebagai pengendalian kes
di luar tabie undang-undang.

Kegagalan afidavit dan kenyataan bersumpah dibawa masuk ke mahkamah
menjadikan rakyat meragui kewibawaan mahkamah yang dapat membicarakan
kes itu secara adil.  Apatah lagi kes pendakwaan terhadap Dato’ Seri
Anwar dibuat berdasarkan kepada pengakuan beberapa orang yang dipaksa
oleh pihak berkuasa untuk mengaku mereka diliwat. Oleh sebab itu
mahkamah  tidak boleh memaksa rakyat untuk menerima keputusan tersebut
kerana mahkamah sendiri tidak dapat membersihkan segala tuduhan
terhadap
kepincangan yang berlaku dalam mahkamah dan ini terbukti di mana
mahkamah gagal menjawab dan menjelaskan 112 tuduhan terhadap kewibawaan
mahkamah yang dibuat oleh  Syed Ahmad Aidid bekas hakim Mahkamah
Tinggi.
Antaranya beliau mendakwa berlaku kepincangan, rasuah dan salah guna
kuasa dalam sistem kehakiman negara. Oleh sebab itu keputusan mahkamah
menjatuhkan hukuman penjara 6 tahun tidak akan mengubah pendirian
rakyat
yang terus meragui kewibawaan mahkamah yang dilihat sebagai sebahagian
daripada konspirasi Dr. Mahathir dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengingatkan kerajaan BN bahawa
mereka boleh memperalatkan sejuta mahkamah dan mahkamah juga boleh
membuat sejuta keputusan dan hukuman terhadap Dato’ Seri Anwar tetapi
akan sampai masanya mahkamah rakyat akan buat keputusan dan menjatuhkan
hukuman kepada Dr. Mahathir dan kerajaan BN dalam pilihanraya akan
datang. DPP Pusat menyeru seluruh rakyat agar bertindak sebagai seorang
hakim yang bijak di mahkamah rakyat dan  pendakwa yang bersih dari
segala kekejikan untuk membicarakan kerajaan BN dan menjatuhkan hukuman
yang adil dengan menolak BN  dalam Pilihan Raya  akan datang.
 

                        “BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN”
                              “BANGKIT TOLAK BN”
 
 
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
15 April 1999 / 28 Zulhijjah 1419