Terengganu tukar lapan pegawai kanan

Tak mahu jadi macam Kelantan dahulu

KUALA TERENGGANU, Selasa - Seminggu selepas mengambil alih pentadbiran Terengganu, Pas hari ini mengumumkan pertukaran pegawai tadbir negeri, berkuat kuasa semalam.

Kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, yang ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh menyebut, setiausaha sulit kanan bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Datuk Mohamed Ngah, kini menjadi Pegawai Daerah Kuala Terengganu.

Beliau menggantikan Mokhtar Nong, yang berpindah ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Persuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar kini menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), mengambil alih tempat Datuk Ismail Sulong, yang kini menjadi Pegawai Daerah Kemaman.

Pegawai Daerah Kemaman sebelum ini, Datuk Wan Awang @ Wan Isa Long mengisi jawatan yang dikosongkan Tengku Hassan.

Rombakan itu turut membabitkan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Datuk Alwi Muhammad, yang dilantik sebagai Pegawai Daerah Dungun, menggantikan Datuk Ibrahim @ Mat Nor A Rahman yang berpindah ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Mohd Shalahin Mamat, dilantik memangku jawatan setiausaha sulit kanan kepada Menteri Besar yang baru, Abdul Hadi Awang.

Pegawai yang terbabit dalam rombakan itu menerima surat pertukaran mereka kelmarin.

Pertukaran kakitangan kerajaan itu adalah yang pertama dilakukan setelah Pas mengambil alih pentadbiran negeri berikutan keputusan pilihan raya umum ke-10 pada 29 November lalu.

Pada pilihan raya itu, Pas memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).