Berita DPPKD : 13 AJK UMNO Letak Jawatan
13 AJK Umno Permatang Pauh letak jawatan

Tanda awal UMNO akan berkubur

PERMATANG PAUH, Jumaat - Seramai 13 ahli jawatankuasa Umno Bahagian Permatang Pauh meletak jawatan hari ini kerana membantah tindakan pemangku ketuanya, Datuk Ahmad Saad menggugurkan lapan rakan mereka.

Mereka yang meletak jawatan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Radin Hadi Munir, Ketua Pergerakan Wanita bahagian, Salmiah Abdul Rahman dan wakil calon Parlimen Permatang Pauh, Yahaya Jamaluddin yang juga setiausaha bahagian.

Bagaimanapun, Dr Radin dan beberapa ahli jawatankuasa lagi tidak hadir dalam perjumpaan yang diadakan dengan Dr Ibrahim tetapi mereka dipercayai memberi persetujuan meletak jawatan.

Keputusan itu diambil selepas mereka berbincang dengan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Ibrahim Saad yang yang tewas kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi kerusi Parlimen itu, dalam pilihan raya umum Isnin lalu.

Ahli jawatankuasa lain yang meletak jawatan ialah Zulkifli Bakar (pemangku Ketua Penerangan Bahagian), Daud Taha, Abdul Razak Othman, Ishak Ismail, Abdul Kalam Abdullah, Abdul Razak Majid, Abdul Samad Taib, Abdul Wahab Rauf, Wabdi Auni, Mohd Raffic Mohamad dan Abdul Hamid Abdullah.

Mereka yang digugurkan oleh Ahmad Saad sebelum itu ialah Mohd Radzi Zainol Abidin (Bendahari), Ketua Penerangan, Shalahuddeen Abdul Hamid, Ahmad Sahar Shuib, Sharifah Thasniah Syed Ali, Abu Bakar Hamid, Ramli Othman dan Rohaya Jaafar.

Memberitahu pemberita selepas pertemuan dengan ahli jawatankuasa terbabit, Dr Ibrahim berkata tindakan melucutkan jawatankuasa yang dilakukan oleh itu Ahmad mengecewakan jawatankuasa bahagian.

Menurutnya, Ahmad tidak wajar bertindak demikian kerana laporan mengenai kekalahan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno bagi Parlimen Permatang Pauh serta Dewan Undangan negeri Penanti dan Permatang Pasir belum selesai.

"Sepatutnya Ahmad bersabar dan menugggu sehingga mendapat laporan lengkap atau melalui keputusan mesyuarat jawatankuasa bahagian. Ini menunjukkan pelucutan jawatankuasa itu tidak sah.

"Anehnya surat pelucutan jawatankuasa bahagian dihantar Ahmad kepada jawatankuasa terbabit merujuk kepada laporan akhbar yang saya keluarkan menyebut bahawa Umno Bahagian Permatang Pauh perlu menjalani proses rombakan secara drastik dan bagi menyempurnakan proses itu semua jawatankuasa dilantik perlu digugurkan untuk rombakan atau pelantikan semula," katanya.

Dr Ibrahim menyifatkan tindakan Ahmad menggugurkan jawatankuasa bahagian tanpa melalui persetujuan mesyuarat tidak mengikut prosedur dan boleh dipertikaikan.

Beliau berkata, surat peletakan jawatankuasa berkenaan akan dihantar secepat mungkin kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno Pusat.

Sehubungan itu, katanya jawatankuasa Umno Bahagian Permatang Pauh akan mematuhi sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi sama ada hendak menggantung Umno bahagian itu atau sebaliknya.

Dr Ibrahim berkata, sebagai ahli MT Umno beliau dukacita terhadap tindakan Ahmad yang membelakangkan jawatankuasa bahagian berkenaan.

Beliau juga berkata, kekalahan calon BN dalam Parlimen Permatang Pauh tidak melunturkan semangat perjuangan jawatankuasa bahagian itu.

"Walaupun kita kalah kali ini, tetapi kita bertekad untuk melawan habis-habisan dalam pilihan raya akan datang dan semua jentera pilihan raya bahagian perlu digerakkan mulai sekarang," katanya.

Ahmad antara penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin Umno kerana kegiatannya yang didakwa bertentangan dengan kehendak parti dan menyokong gerakan reformasi.

Bagaimanapun, Majlis Tertinggi pada mesyuaratnya pada 7 Disember 1998 memutuskan Ahmad tidak melakukan kesalahan dan dilepaskan daripada tindakan disiplin.

Namanya juga pernah dikaitkan sebagai kroni Anwar yang menjadi pengarah 53 syarikat, termasuk yang disenarikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), mengikut rekod Pendaftar Syarikat (ROC) pada November 1998.

Antaranya, Northern Waste Industries Sdn Bhd, Rumpun Hijau Corporation Bhd, Aman Securities Sdn Bhd dan Federal Auto Holding Bhd serta memiliki saham dalam 15 syarikat lain, termasuk AU Metalwest Sdn Bhd, Usaha Kerdau dan R H Industries Sdn Bhd.