Make your own free website on Tripod.com

Artikel Ini Merupakan Artikel Sdr Anwar Shah Yang Pernah Diterbitkan Di RN Pada Tahun Lepas. Pihak RN Menyiarkan Artikel Ini Semula Kepada Reformis Yang Belum Membacanya Dan Penting Dengan Senario Semasa.

REFORMIS PERLU PANDAI HELAH POLITIK UMNO

Pemimpin-pemimpin UMNO terlalu yakin untuk terus menang dalam pilihanraya umum yang akan datang. Mereka ini berpandukan kepada sejarah perpecahan yang pernah melanda UMNO suatu ketika dahulu yang antaranya ialah keluarnya PAS dari Barisan Nasional dan juga saat-saat getir pengistiharan pengharaman UMNO pada tahun sekitar 1988 gara-gara UMNO berpecah kepada Team A dan Team B. Namun begitu, dalam kemelut terkini, senarionya adalah berlainan sekali ditambah pula dengan dunia teknologi maklumat dan perlulah kesemua pihak sama ada UMNO dan golongan reformis menyusun strategi menjatuhkan pihak lawan.

Saya amat optimis bahawa UMNO beserta ahli-ahli komponen BN akan menang dalam pilihanraya umum akan datang SEANDAINYA kita pihak reformis tidak pandai mengatur strategi yang baik bagi melawan segala tipu helah UMNO ketika itu. Sejarah lampau UMNO perlu segera kita pelajari supaya kita tidak lagi tertipu untuk memangkah lambang dacing yang berat sebelah.

Pada masa ini, kemelut politik yang melanda negara sebenarnya amat membimbangkan UMNO sendiri terutamanya di kalangan ahli-ahli kroni Mahathir. Oleh kerana itulah Mahathir tidak berani membubarkan Parlimen kerana tidak yakin untuk mencapai kemenangan selesa. Namun begitu, dikhabarkan Mahathir cuba melenyapkan prasangka bahawa beliau pengecut untuk memanggil pilihanraya umum lebih awal. Dengan lawatannya ke Sabah baru-baru ini menandakan pilihanraya negeri mungkin akan diadakan selepas bulan Ramadhan.

Kita perlulah sedar bahawa memanglah ramai yang menyokong reformasi pada ketika ini tetapi semangat ini akan mula pudar jika kita tidak terus menanam kemarahan dan kebencian terhadap UMNO. Itulah yang berlaku pada masa-masa dahulu dengan ditambah pula oleh propaganda UMNO yang memburuk-burukan parti lawannya. Walau bila pilihanraya diadakan, adalah menjadi tugasan kita terus menyemat sikap tidak berbelah bagi untuk tidak lagi menerima BN sebagai parti pemerintah akan datang.

Strategi utama UMNO ialah untuk memastikan para pengundi merasa serba salah untuk memangkah parti lawannya. Antara taktik mereka ialah menakutkan rakyat mengenai PAS terutamanya di kalangan Melayu Bandar dan profesional di dalam isu pelaksanaan kejam hukum Hudud dan pakaian tudung oleh wanita yang pasti membuat mereka akan berubah fikiran memangkah UMNO semasa di pos pengundi. Bukan itu sahaja, saya pasti isu PAS yang nampak berbaik dengan DAP akan pula digunakan untuk mempengaruhi Melayu Luar Bandar dan golongan gerakan Islam.

Selain itu, UMNO dan komponennya yang lain pula akan cuba menakutkan pengundi bukan Melayu mengenai bakal kekejaman undang-undang dan pemerintahan Islam oleh PAS jika mereka memilih mengundi PAS. UMNO pasti akan menakutkan mereka dengan menuduh PAS sebagai parti fundamentalis Islam yang fanatik dan akan menindas golongan bukan Islam. Saya pasti pihak PAS telah pun mengenalpasti taktik UMNO tersebut apabila baru-baru ini Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan kesediaan PAS menerima kehadiran orang bukan Islam ke dalam PAS. Syabas PAS! Walaupun begitu, pihak PAS perlulah berhati-hati memilih calon yang tidak mudah dibeli oleh UMNO ketika menjelangnya pilihanraya.

Media tempatan juga dengan ghairahnya mengeluarkan laporan mengenai cabaran oleh regim Mahathir kepada penyokong-penyokong reformasi untuk menubuhkan sebuah parti politik sebagai syarat untuk bergerak secara sah di sisi undang-undang. Dan terbarunya ialah seorang bekas tahanan ISA membuat kenyataan menubuhkan parti politik nampaknya menyokong usaha regim Mahathir. Tidak perlulah ditubuh parti yang baru kerana ini akan memecahkan undi orang-orang Melayu dan akan memudahkan UMNO menang lagi. Lebih-lebih lagi, Mahathir akan menitis air mata dengan sengaja menjelang kempen pilihanraya dengan mengatakan beliau bersedih dengan perpecahan kaum Melayu dengan adanya parti baru semata-mata untuk meraih undi simpati pada saat-saat akhir. Cukuplah dengan menubuhkan sebuah organisasi yang longgar yang non-partisan untuk meneruskan perjuangan reformasi sehingga pilihanraya diadakan.

Walau apa pun terjadi, setiap penyokong reformasi mesti tetap menghangatkan isu ini sehinggalah pilihanraya diadakan. Kita tahu Mahathir yang pengecut itu tidak berdaya mengadakan pilihanraya awal kerana beliau pasti UMNO akan kalah dan ini akan memberi kelebihan MCA menguasai BN dan mungkin dapat mengetuai kerajaan! Oleh kerana itulah MCA sedang melihat dengan penuh minat kemelut UMNO. Di dalam politik, tidak ada yang mustahil. Oleh itu jangan terkejut jika MCA dan mungkin GERAKAN keluar meninggal BN untuk mengelakkan mereka jatuh bersama dengan karenah UMNO sendiri.

Peristiwa Arau baru-baru ini sebenarnya memberi petunjuk jelas kepada UMNO bahawa parti itu mempunyai keberangkalian ditolak oleh kubu-kubu kuat UMNO yang lain. Saya yang juga merupakan ahli jentera pilihanraya semasa di Arau dapat melihat sendiri bagaimana rakyat Perlis amat kesal dengan kerajaan negeri yang gagal menyelesaikan masalah dusun dan infrastruktur. Lebih-lebih lagi, adik Shahidan Kassim dicalonkan oleh BN walhal ketika itu negara sedang hangat berbicara tentang hal kronisme dan depotisme dalam pucuk pimpinan UMNO. Saya sudah awal-awal lagi yakin bahawa UMNO akan kalah kali ini.

Oleh itu, sidang pembaca perlulah bersedia bermain politik agar semangat membenci UMNO perlu segar-bugar dalam ingatan setiap penyokong reformasi yang berbilang kaum dan jauh lebih banyak daripada penyokong UMNO sendiri. Saya bersyukur ke hadrat ALLAH kerana sudah ramai ahli UMNO berpindah ke PAS kerana sudah tidak mempercayai regim Mahathir lagi. Ingatlah bahawa jika ada yang bermain api dengan regim Mahathir saya pasti Mahathir akan bermain `gunung berapií kerana beliau amat yakin beliau adalah benar sepanjang masa. Lihatlah saja dalam muka hadapan akhbar-akhbar tempatan yang memuatkan berita-berita sensitif mengenai masalah politik di Indonesia. Inilah cara regim Mahathir cuba membalas dendam melalui media massa terhadap Presiden Habibie yang menyokong gerakan reformasi. Tidak mustahil, berita-berita buruk mengenai Presiden Estrada akan keluar bila-bila masa sahaja.

Saya merupakan penyokong kuat UMNO sebelum ini tetapi kerana kezaliman UMNO baru-baru ini tidak dapat saya terima lagi. Oleh itu amat layaklah Mahathir mendapat gelaran regim kerana perbuatan beliau tidak ubah seperti regim Israel dan regim-Apartheid di dalam menindas rakyat. Saya juga bukanlah Nostradamus membuat ramalan tentang bakal strategi-strategi kotor yang dimainkan oleh regim Mahathir tetapi segala-galanya pasti berlaku kerana sejarah UMNO telah membuktikannya.

Ingatlah sidang pembaca, tidak rugi jika kita memberi peluang kepada parti-parti pembangkang menerajui negara dan menghukum UMNO atas kesilapannya kerana ini secara tidak langsung memberi amaran kepada generasi pemimpin akan datang supaya takut untuk melibatkan diri dalam perkara-perkara berkaitan kronisme dan depotisme. PAS telah pun berjaya menunjukkan kemampuan mereka mentadbir Kelantan secara aman dan adil. Oleh itu, kita perlulah bersedia berhadapan dengan cabaran regim Mahathir yang sudah memusnahkan kredibiliti tanahair sebagai negara yang berdaulat.

Anwar Shah

HakCipta Terpelihara @ RN 1998