STRATEGI DAN TEKNIK MELALIKAN SIKAP DAN PEMIKIRAN ORANG

Mengapakah orang-orang PAS sentiasa mempunyai hujah untuk menangkis hujah-hujah orang UMNO, dan dengan cara itu mereka berjaya terus mengekalkan fahaman PAS mereka daripada dicairkan oleh kempen-kempen UMNO?

Melalui proses mendengar pelbagai tarbiah dan tazkirah, orang-orang PAS sudah "diajar" oleh para pemimpin PAS apa mereka perlu katakan kepada orang UMNO apabila orang-orang UMNO mengemukakan hujah-hujah mereka!

Orang-orang PAS sudah diajar lebih kurang begini: "Kalau orang UMNO kata begini.... jawablah dengan cara begini...!"

Ditinjau dari satu sudut, pemimpin-pemimpin PAS memberikan skrip-skrip jawapan bagi menangkis pelbagai hujah yang bakal didengar oleh orang-orang PAS daripada mereka yang bukan-PAS, terutama sekali daripada mereka yang UMNO.

Inilah yang dikatakan oleh pakar-pakar psikologi persuasif proses "memperlalikan" golongan yang menjadi target pelalian. Proses pelalian ialah sejenis proses indoktrinasi yang sangat berkesan. Fahaman-fahaman demokrasi, sosialisme, kapitalisme dan komunisme ditanamkan melalui proses pelalian seperti ini.

Strategi memberikan skrip-skrip jawapan kepada hujah-hujah yang bakal didengar daripada pihak penentang juga terdapat di dalam Islam. Di dalam al-Quran, terdapat ayat-ayat di mana Allah mengajarkan kepada Nabi Muhammad skrip-skrip jawapan yang membawa maksud, "Katakanlah kepada mereka........"

Proses pelalian hendaklah dilakukan cepat, iaitu sebelum orang yang menjadi target itu lali kepada hujah kita! Apabila sekali seseorang itu sudah lali kepada hujah kita, amatlah sukar bagi kita mencairkan kelaliannya.

Dalam erti kata yang lain, sekali seseorang ahli PAS sudah lali kepada hujah UMNO, amatlah sukar bagi sesiapa jua menukar kefahaman PASnya. Begitu juga, sekali seseorang itu sudah lali kepada hujah-hujah PAS, amatlah sukar bagi ahli UMNO itu untuk masuk PAS.

Kita mesti proaktif. Kita bertahu lebih dahulu apa UMNO akan katakan kepada mereka. Jadi apabila mereka mendengar perkara itu dari mulut orang UMNO mereka sudah siap dengan skrip jawapannya.

Sebelum UMNO mula menyebar-luaskan dakyat mereka, kita mestilah sudah memberitahu rakyat begini: "UMNO akan memberitahu tuan-tuan ini..., ini..., ini.....".

Proses ini serupa dengan proses pelalian tubuh badan. Doktor akan menyuntik kuman cacar kepada tubuh orang yang sihat. Apabila mereka diserang kuman cacar, badan mereka sudah lali.

Dari sudut ini, kita jangan tunggu orang UMNO berkempen menyebarkan fitnah mereka baru kita sibuk menafikan tuduhan-tuduhan itu. Jika itu cara kerja kita, kita sudah terlambat. Ibarat orang itu sudah kalah kepada serangan cacar, baru hendak kita suntik dengan pelali!

Suatu hikmah Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah ialah, laporan-laporan mahkamah yang dibaca oleh orang ramai telah melalikan ramai rakyat kepada hujah-hujah Dr. Mahathir!

Pada masa ini, walau apa sahaja alasan yang digunakan oleh Dr. Mahathir untuk mempertahankan perbuatannya memecat dan memfitnah Datuk Seri Anwar, rakyat sudah lali. Rakyat sudah mempunyai skrip untuk menangkis hujah-hujah Dr. Mahathir - dari "skrip tilam" sampailah kepada "skrip konspirasi" semuanya sudah ada dalam kepala rakyat untuk menangkis cakap Dr. Mahathir.

Dalam konteks kempen pilihanraya akan datang, kita dapat meramalkan hujah-hujah yang akan digunakan oleh UMNO supaya para penundi jangan mengundi calon-calon DAP, PAS, PRM dan ADIL.

Kita perlu memperlalikan para pengundi supaya mereka tidak termakan hujah-hujah UMNO itu. Caranya ialah dengan menyediakan skrip-skrip bagi menjawab tiap-tiap dakyah yang digunakan oleh UMNO itu.

Kita mesti dengung-dengungkan ke dalam telinga para pengundi skrip-skrip jawapan itu supaya apabila mereka mendengar hujah-hujah UMNO mereka sudah tahu apa yang hendak mereka jawabkan. Dengan cara itu mereka dapat menangkis hujah-hujah tersebut dan mereka menjadi lali.

Beberapa hujah UMNO yang perlu kita sediakan hujah-balasnya dan kita ajarkan kepada para pengundi mulai sekarang ialah:

a. Datuk Anwar Ibrahim dan ABIM merancang untuk menjadikan negara ini republik Islam seperti Iran. (Jawapannya: Tuduhan ini fitnah. Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah bercakap tentang republik Islam. Beliau hanya bercakap tentang mencipta masyarakat Madani. Masyarakat Madani ialah...... )

a. Jika UMNO kalah bermakna negara ini akan diperintah oleh Cina.

b. Jika Datin Seri Dr. Wan Azizah menang, negara ini akan diperintah oleh perempuan dan negara ini akan hancur kerana dalam Islam wanita tidak boleh menjadi pemimpin.

c. Jika PAS menang negara ini akan huru-hara dan akan berlaku perang agama.

d. Jika Reformasi menang negara ini akan menjadi seperti Indonesia di mana harta Cina akan dibakar dan wanita-wanita Cina akan dirogol.

e. PAS dan DAP tidak mungkin boleh bekerjasama disebabkan DAP anti Melayu dan anti-Islam manakala PAS adalah anti-kafir.

f. Jika PAS memerintah Cina tidak boleh minum arak dan main judi lagi.

g. Jika PAS memerintah golongan bukan Islam akan ditindas.

h. Jika PAS menang PAS akan tarik balik semua biasiswa dan pinjaman pelajaran anak-anak orang UMNO.

Kami cadangkan PAS-DAP-PRM-ADIL menubuhkan satu kumpulan strategis untuk meramalkan segala macam dakyah UMNO dan menyediakan skrip jawapan bagi tiap-tiap dakyah itu. Skrip ini dituliskan dan diedarkan kepada semua jurukempen kita.

Prof. Komunikasi RN