Make your own free website on Tripod.com

SALAH GUNA PENDAFTARAN PENGUNDI

Saban tahun Suruhanjaya Pilihanraya melancarkan gerakan Pendaftaran Pemilih serta Semakan Daftar Pemilih, dan saban tahun juga dakwaan-dakwaan tentang berlakunya penyalahgunaan proses berkenaan diperkatakan oleh mereka yang berkenaan.

Kita akan masuk ke alaf baru tidak lama lagi. Kita kini telah maju dalam bidang IT dan penggunaan komputer amat meluas. Cukai yang dikutip daripada rakyat juga telah terlalu banyak yang digunakan untuk meningkatkan keupayaan jentera kerajaan dalam penggunaan komputer.

Kesemua jabatan kerajaan kini telah dikomputerkan, termasuk PDRM, jabatan Pendaftaran, Suruhanjaya Pilihanraya, Imigresen dan sebagainya. Setiap kelahiran di negara ini didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran. Semua kematian dilaporkan kepada Jabatan Polis dan semua penghijrahan sementara warganegara Malaysia disenaraikan oleh Jabatan Imigresen.

Apa perlunya lagi seorang warganegara mendaftarkan diri sebagai pemilih, walhal komputer-komputer di jabatan-jabatan berkenaan boleh menyalurkan segala maklumat yang dikehendaki terus kepada Suruhanjaya Pilihanraya?

Undang-undang telah memperuntukkan supaya semua orang yang menetap di negara ini sentiasa membawa kad pengenalan, dan bahawa kad pengenalan tersebut mesti menunjukkan alamat semasa. Sebelum pengeluaran Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (!!) yang kita gunakan sekarang, seseorang yang bertukar alamat diwajibkan mendapatkan Kad Tukar Alamat daripada Jabatan Pendaftaran Negara, meskipun tiada penguatkuasaan.

Dengan kad pengenalan baru, kad tukar alamat telah dimansuhkan. Bagi sesiapa yang bertukar alamat perlu menggantikan kad pengenalan mereka. Ini bermakna, jika penguatkuasaan peraturan ini dilaksanakan, semua penduduk negara ini akan sentiasa membawa kad pengenalan yang mengandungi alamat mutakhir.

Dua tahun lalu semasa saya cuba menukar Kawasan Pilihanraya, permohonan saya ditolak kerana kad pengenalan lama saya menunjukkan bahawa alamat saya bukan di kawasan pilihanraya yang saya minta. Ini bermakna bahawa jika peraturan itu dilaksanakan dengan tegas, seseorang pemilih hanya boleh didaftarkan sebagai pengundi di kawasan seperti yang tercatat sebagai alamatnya dalam kad pegenalan.

Kaedah ini, jika dikuatkuasakan bermakna bahawa tiada sesiapa pun yang boleh dengan sewenang-wenangnya mengubah kawasan pilihanrayanya tanpa mengubah alamat yang terdapat dalam kad pengenalan. Oleh hal yang demikian, tidakkah wajar bagi SPR untuk mendaftarkan pemilih secara automatik semua rakyat Malaysia yang telah mencapai usia 21 tahun berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara, dan dengan berpandukan alamat yang tercatat dalam kad pengenalan mereka?

Saya percaya kaedah ini akan menentukan bahawa tiada pihak-pihak yang berkepentingan akan dapat menukarkan kawasan pilihanraya seseorang pemilih, dan kalaupun pertukaran dapat dilakukan juga ianya serta-merta terbatal kerana perbezaan yang terdapat pada alamat.

Dakwaan mengatakan bahawa pihak-pihak tertentu memindahkan kawasan pilihanraya seseorang pemilih terus berlaku. Bagimana ia boleh dilakukan sekiranya alamat pada kad pengenalan mereka tidak diubah?

SPRbelum melaksanakan pendaftaran secara automatik, tetapi sehingga kini masih belum lagi memberi alasan mengapa ia tidak dapat dilaksanakan. Seseorang pemilih seharusnya mengundi di kawasan ia bermastautin, dan alamat dalam kad pengenalannya sepatutnya dijadikan asas yang sah bagi menentukan kawasan pilihanrayanya.

Kegagalan SPR mendaftarkan pengundi secara automatik berdasarkan alamat yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara hanya akan mengundang tohmahan daripada rakyat yang kini tidak yakin dengan ketelusan kerajaan.

Laksanakan kaedah ini segera, dan kalau belum bersedia melaksanakannya, cuba beri penjelasan mengapa ia belum boleh dilaksanakan. Selagi ia tidak dilaksanakan, atau selagi SPR tidak dapat memberi alasan yang munasabah, keraguan rakyat akan terus wujud dan selagi itulah rakyat akan terus mempertikaikan SPR.

HATTA MOHAMED