APA PERLU PARTI KEADILAN NASIONAL WUJUD? 

Realiti Berpolitik
“Kita nak buat macam mana, dah depa nak tubuh parti baru ”. Bagitulah respon Yang Berbahagia Dato’ Presiden PAS, Ustaz Fadhil Mohd Noor ketika ditanya, apakah sikapnya terhadap penubuhan PKN. Dari respon ini kita dapat menyelami bahawa Ustaz Fadhil akur dengan realiti berpolitik. Penubuhan PKN sudah tidak dapat dielakan lagi.

Itulah realiti yang ada, berbilang parti untuk mewakili aspirasi, cita-cita, visi dan matlamat kelompok yang diwakili. Agenda penting selepas ini bukan menangis mengesali atau marah kerana tidak sehaluan dengan harapan kita. Agenda penting pimpinan parti-parti pembangkang selepas ini ialah mencari jalan bagaimana parti pelbagai kepentingan dan matlamat ini dapat disatukan atas prinsip “menang-menang” atau “win-win”.

Prinsip Menang-Menang Rahsia BN
BN ditubuhkan atas dasar kerjasama, muafakat, bagi mencapai tujuan bersama mereka. Tidak semua pihak akan dapat semua yang dicita-citakan. Malah Mahathir menyifatlkan kerjasama dalam BN pimpinannya ini sebagai contoh smart partnership dalam mentadbir negara dan inilah yang dia utarakan kepada beberapa pimpinan dunia yang datang ke Langkawi setahun lebih yang lalu. Atas prinsip “menang-menang” atau “win-win” inilah juga menyebabkan BN terus berkuasa setiap kali pilihanraya. BN melayani semua pihak pengundi. GERAKAN diterima jadi kerabat BN walau pun MCA sudah ada untuk mewakili cina. PPP pimpinan Keveas masih diterima jadi kerabat BN walau pun MIC sedia ujud. Jika di Sabah mereka terima parti Joseph Kurup dan Parti Bernard Dompok walau pun keduanya mewakili kaum Kadazan. BN terima banyak kalangan yang mewakili pengundi dari kelompok tertentu untuk mencapai kenangan bersama.

PAS Tidak Mampu Bersendirian
Kita percaya PAS tidak akan mampu untuk menghadapi BN dalam pilihanraya yang akan datang secara sendirian. Untuk menghadapi suatu kuasa politik yang berpegalaman, penuh dengan sepak terajang dan tipu muslihat, PAS perlukan senjata sebagaimana yang dimiliki oleh BN. PAS perlukan suatu pakatan bersama parti-parti pembangkang yang lain atas prinsip menang-menang. BN hanya boleh ditumbangkan dengan pakatan parti-parti pembangkang.

Dalam prinsip menang-menang, PAS tidak akan dapat semua, PKN juga tidak dapat semua, DAP tidak akan dapat semua, bagitu juga PRM, PBS dan lain-lain. Yang tentu semua akan dapat iaitu menumbangkan BN.

Jika situasi menang-menang tidak dapat dicapai, prinsip “tak main”atau “no-deal”  atau “bersetuju untuk tidak bersepakat” bukan pilihan terbaik dalam konteks pilihanraya. Jika “tak main” dipegang, beerti BN akan terus menang. BN lebih suka jika PAS berdepan dengannya secara bersendirian tanpa kerjasama dengan DAP atau PKN atau PBS atau PRM.

Dalam keadaan “menang-menang” tidak tercapai atau “kalah-kalah” seperti rundingan gagal, masing-masing berdegil, gagal mengorbankan kepentingan masing-masing, dan semua parti sama-sama bertanding. Kemungkinan sama-sama pembangkang pakat lawan menjadikan tiga penjuru, atau empat, atau lima dan mungkin lebih dari itu.

Apa akan jadi jika PKN menarik diri atau memulau pilihanraya akan datang oleh kerana sifat keras PAS dan ketidakadilan yang berlaku ?. Apa akan jadi jika PAS gagal bekerjasama dengan DAP?. Jika keadaan ini berlaku dan situasi “menang-menang” gagal diperolehi tentulah BN akan terus memerentah.

Pakatan Pembangkang
Erti pakatan pembangkang mestilah boleh bersetuju setiap pihak bertanding atas satu lambang yang sama diguna pakai oleh semua parti pakatan sebagaimana juga BN, dipersetujui sebelum pilihanraya. PAS tidak patut rasa terhina mengorbankan bulan, bagitu juga DAP terpaksa korbankan roketnya dan PKN korbankan “matanya”. Kalau ini tidak dapat dipersetujui, alamat BN akan terus memerentah selepas ini.

Pelbagai parti tetap akan ujud, tidak dapat tidak. Ini satu reality. Yang penting semuanya mempunyai matlamat yang satu, iaitu menjatuhkan BN. Jika ada pakatan parti-parti pembangkang, tidak timbul soal pecah undi melayu. PAS tidak bertanding dimana tempat yang pakatan pembangkang bersetuju PKN bertanding.

PAS Tidak Popular Disemua Negeri
Bukan semua pengundi senang dengan PAS. PAS popular di empat buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Trengganu dan Perlis masing-masing mendapat undi popular dalam pilihanraya 1995 lalu sebanyak 51%, 31%, 20% dan 20%. Dinegeri-negeri lain terutamanya diselatan semenanjung PAS memperolehi kurang dari 10% undi. Di Pulau Pinang sebagai contoh PAS hanya memperolehi 1.7% undi yang beerti setiap 100 pengundi di Pulau Pinang tidak sampai 2 orang yang mengundi PAS.
Bila menyertai pilihanraya, tentunya kita akan menghitung undi yang akan kita raih. Realiti mesti diperhitungkan.

Saya percaya PAS memerlukan parti-parti lain seperti PKN sebagai partner menghadapi gergasi seperti BN dinegeri-negeri terutamanya di Selatan Semenannjung. Dan kita yakin kekuatan rundingan dan tasammuh serta sikap berlapang dada yang dimiliki oleh pimpinan PAS, masalah ini dapat diselesaikan.

Memang benar kalau boleh kita mahu semua orang menyertai PAS. Penyokong Sdr Anbwar Ibrahim masuk PAS beramai-ramai. PAS boleh buka keahlian agar orang Cina dan India pun boleh masuk PAS. Realitinya tidak sedemikian. Bukan semua orang senang dengan PAS. Mereka punya sejarah sendiri dengan PAS yang menyebabkan mereka tidak boleh masuk PAS. Mereka mungkin sokong PAS tapi susah bersama PAS.

Pelbagai Pilihan
Rasulullah SAW ketika memasuki Kota Makkah dalam peristiwa Futhul Makkah, tatkala kemenangan hampir tercapai, beliau menawarkan tiga pilihan kepada penduduk makkah. Iaitu pertama, siapa yang masuk ke dalam Masjid akan selamat, kedua siapa yang masuk ke rumah Abu Sufiyan selamat dan ketiga siapa yang masuk ke rumah sendiri, kunci pintu, duduk diam-diam juga akan selamat. Disaat kemenangan Islam yang sudah bagitu hampir pun Rasulullah SAW masih memberi pilihan-pilihan kepada penduduk Makkkah asalkan jangan melawan. Beliau tidak menghadkan orang yang akan selamat hanya yang masuk masjid. Kerana beliau tahu bukan semua orang suka ke Masjid (masuk Islam). Ada orang yang alergik dengan masjid.

Rasulullah SAW juga tahu bahawa Abu Sufiyan punya pengaruh keatas orang-orang Mushrikin Makkah. Oleh kerana itu Rasulullah SAW menyuruh Abu Sufiyan (yang sudah Islam ketika itu) sendiri yang umumkan pilihan-pilihan tersebut. Barangkali rayuan orang dari kumpulan yang sama ini lebih berkesan menarik pengikut.

Bagitulah keadaan masyarakat kita yang pelbagai kepentingan dan kehendak ini perlu diberi kesempatan mewakili wadah, kumpulan atau parti masing-masing yang mereka senangi untuk mencapai cita-cita yang sama, iaitu menjatuhkan BN. Rasulullah tidak umumkan sendiri pilihan-pilihan itu. Rasulullah menyuruh Abu Sufiyan yang umumkan. Jika DS Wan Azizah atau DS Anwar sendiri yang anounce semua penyokongnya masuk PAS akan memberi impak yang lain berbanding jika PAS yang umumkan atau menawarkan, apatah lagi meminta atau memaksa semua orang masuk PAS, tentunya akan memberi implikasi negatif. Yang penting kita mahu pengundi yang pelbagai latarbelakang sokongan ini dapat disatukan diatas cita-cita yang sama iaitu menumbangkan BN.

Pilihanraya kali ini benar-benar menuntut kebijaksanaan dan kematangan pimpinan dan pengikut dalam berpolitik. Pengalaman-pengalaman pilihanraya yang lalu sepatutnya mengajar kita untuk bertindak lebih matang dan bijaksana.

Wallahu a'lam.