Make your own free website on Tripod.com

PENTINGNYA MEMAHAMI STRATEGI MEDIA MAHATHIR

Jomo K. S.

Sejak Julai 1997, empat buah daripada lima negara Asia Tenggara yang paling teruk mengalami kegawatan ekonomi sudah menukar pucuk pimpinan negara masing-masing, kecuali Malaysia. Negara-negara itu ialah Filipina, Negeri Thai, Indonesia dan Korea Selatan.

Di Malaysia pula, Mahathir bukan hanya berjaya mengekalkan kuasanya, malah Anwar Ibrahim pula yang menjadi mangsa krisis politik ekoran kegawatan ekonomi negara ini.

Meskipun memang jelas Mahathir masih dapat mengekalkan kuasanya, tetapi ramai orang Melayu yang menjadi penyokong kepada Anwar yakin bahawa Mahathir kini sedang menuju hari-hari terakhirnya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Dari satu segi, memanglah Mahathir sedang menuju hari-hari akhirnya disebabkan usia beliau kini sudah 73 tahun. Ditambah pula, beliau sekarang sudah kehilangan keabsahan atau legitimasinya, terutama sekali di kalangan masyarakat Melayu, akibat cara-cara yang beliau gunakan untuk 'menghapuskan' Anwar secara politik.

Tetapi jangan kita lupa bahawa Mahathir seorang dalang politik yang amat berpengalaman, licin dan tegal hati. Kekuatannya kurang diberi perhatian oleh mereka yang mahu menjatuhkan Mahathir.

Selepas peristiwa mata lebam Anwar dan keganasan polis ke atas para penunjuk perasaan pada bulan September dan Oktober 1998 lalu, Mahathir telah menukar taktiknya.

Pertama, Mahathir serta orangnya berusaha kuat untuk memperbaiki imejnya, misalnya dengan menggunakan rancangan NTV7 "Dateline Malaysia." RTM sendiri sudah bersiap sedia untuk melancarkan rancangan yang serupa tidak lama lagi dengan tujuan memberi gambaran bahawa Kerajaan BN bersikap terbuka kepada pandangan dan kritikan orang ramai.

Kedua, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor akan dikorbankan sebagai satu-satunya orang yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan mata Anwar. Dengan cara ini, diharapkan rakyat akan menumpukan kemarahan mereka terhadap bekas KPN itu sahaja, dan tidak lagi kepada Mahathir, yang kononnya tidak tahu-menahu sebelum Rahim mengaku.

Ketiga, Kerajaan akan mengadu-dombakan parti-parti pembangkang supaya mereka saling bercakar-cakaran sesama sendiri untuk mengelakkan mereka berganding bahu supaya menwarkan pilihan viable yang lebih baik.

Keempat, Kerajaan telah melancarkan kempen menakut-nakutkan masyarakat Cina dan orang lain di negara ini terhadap Gerakan Reformasi Anwar dan juga terhadap PAS supaya rakyat terus menyokong pemerintahan Barisan Nasional sebagai pilihan demi kestabilan serta keselamatan terhadap ancaman Islam-Melayu.

Untuk menakut-nakutkan orang bukan Melayu, Barisan Nasional menggunakan empat isu, iaitu ancaman huru-hara, perkauman, agama dan ekonomi.

Mahathir akan cuba meyakinkan rakyat, terutama sekali kaum Cina, bahawa para penyokong Reformasi Anwar akan membawa kekecohan politik, sama dengan apa yang berlaku di Indonesia dan juga dengan mengingatkan rakyat negara ini tentang Tragedi 13 Mei 1969.

Oleh kerana DAP dan PAS sudah biasa dengan taktik Barisan Nasional, pimpinan kedua-dua parti pembangkang itu tidak mahu ikut terlibat dengan tunjuk perasaan September-Oktober 1998. Namun, di kalangan mereka yang menunjuk perasaan, terdapat ramai yang mengharapkan Mahathir akan meletakkan jawatan, seperti dilakukan oleh Suharto.

Media yang dikawal oleh Barisan Nasional cuba menggambarkan tunjuk perasaan di jalan-jalan pada bulan September-Oktober 1998 sebagai usaha gerakan Reformasi Anwar untuk mencetuskan keadaan huru-hara seperti yang berlaku di Indonesia.

Walaupun keganasan perkauman yang berlaku di Indonesia sebenarnya bermula sebagai perbuatan puak tertentu dalam angkatan tentera yang ingin merebut kuasa dengan berselindung sebalik cogankata Islam, tetapi media Malaysia sengaja memutar-belitkan peristiwa di sana demi tujuan politik di sini.

Maka, media tempatan memberi liputan luar biasa dan mengulangi berita dan gambar keganasan, huru-hara dan perkosaan wanita Cina di Indonesia. Media sengaja menyiarkan berulang kali gambar-gambar rusuhan di Indonesia yang amat mengerikan, dan terdapat siaran tertentu dalam Bahasa Cina yang ditujukan khas kepada masyarakat Cina.

Apa yang berlaku di Indonesia digunakan oleh pihak berkuasa serta media massa untuk memomokkan PAS dan gerakan Reformasi. Liputan dewasa ini berbeza sekali dengan liputan terhadap rusuhan anti-Cina di Medan beberapa tahun lalu, yang memberi alasan untuk Kerajaan Malaysia mengharamkan penyiaran BBC World TV kerana menyiarkan gambar peristiwa itu, yang dikatakan tidak sesuai dilihat oleh rakyat Malaysia.

Begitu juga, untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat bukan Islam dan golongan Islam yang membenci keganasan agama, media yang dikawal kerajaan sengaja menyiarkan banyak berita dan gambar keganasan antara puak Islam dan Kristian di Indonesia, seolah-olah Barisan Nasional bersimpati kepada golongan Kristian. Tetapi mereka ini yang tidak pernah bersimpati terhadap beribu-ribu orang Katolik di Timor-Timur yang diganasi Tentera Indonesia, malah pernah menindas penyokong mereka di Malaysia.

Malah, Mahathir dan Megat Junid tergamak mengarahkan polis dan Pemuda UMNO menyerbu Persidangan Timor-Timur di Kuala Lumpur pada November 1996, membuang peserta asing dan memenjarakan 60 peserta tempatan atas tuduhan-tuduhan yang diada-adakan.

Malah, Barisan Nasional juga tidak pernah bersimpati terhadap ribuan orang Islam di Acheh yang dibunuh dan dirogol oleh tentera Indonesia. Sebagai Menteri Dalam Negeri, mereka pernah menghantar pulang puluhan orang Acheh di Malaysia, yang kemudian dipenjarakan ataupun dibunuh.

Fasal perlembagaan PAS yang mahu menubuhkan negara Islam di Malaysia kini digunakan sepenuhnya oleh pemimpin-pemimpin Cina dalam BN untuk menakut-nakutkan kaum Cina supaya mereka menolak PAS dan DAP tidak berani bekerjasama dengannya. Sebenarnya, para pemimpin PAS pernah menjelaskan bahawa kerjasama antara parti pembangkang berasaskan komitmen kepada keadilan, bukan soal pembentukan asas negara yang baru.Ketakutan rakyat Cina patut difahami. Parti-parti pembangkang mesti menangani isu-isu yang mereka telah berjaya menggunakan untuk menakutkan masyarakat Cina.

Setelah kejutan dalam pilihanraya 1990, Mahathir telah mengamalkan dasar liberal terhadap isu perkauman, baik dalam dasar-dasar ekonomi, budaya, mahupun bahasa, untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina. Mahathir telah menjalinkan persahabatan rapat dengan hartawan besar, yang terdiri daripada berbilang kaum. Beliau juga pernah melancarkan dasar penswastaan dan mula mengurangkan peranan sektor kerajaan, yang sudah menjadi lembab dan korup. Barisan Nasional sudah lama menekankan liberalisasi ini untuk menunjukkan kelebihan Mahathir berbanding dengan Anwar.

Mahathir juga sedang cuba memberi gambaran bahawa hanya Mahathir dan Daim saja yang dapat menyelamatkan ekonomi Malaysia, sedangkan Anwar pula telah menjahanamkannya kerana mengikut arahan IMF, misalnya dengan meningkatkan kadar bunga. Walaupun palsu, kalau hanya lagu ini dimain dalam media massa tempatan, lama kelamaan, ramai pula yang mula mempercayainya.

Bagi golongan yang mudah lupa akan apa yang berlaku sebelum ini, mereka mudah termakan dengan tipu-helah demikian. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan menggunakan momokan-momokan perkauman dan agama, media yang dikawal oleh Barisan Nasional telah berjaya meninggalkan kesan.